"Hidup ini tumpang menumpang..di situlah lahirnya syukur kepada ALLAH. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situ ada nasi yang di usahakan petani, ada ikan yang di cari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberi sepinggan nasi kepada kita...alangkah kerdilnya kita di bumi ALLAH SWT...maka siapakah kita untuk menolak agama ALLAH?" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sunday, October 17, 2010

Istikharah..takutlah nak buat!!!

Salam Perjuangan,

Bila kita sebut sahaja tentang istikharah..ramai yang beranggapan itu mesti berkaitan dengan jodoh. Peliknya aku, sejak bila Nabi mengajar istikharah itu hanya utnuk jodoh sahaja. Nampak lah dengan jelas bahawa remaja Islam pada zaman ini banyakkan jahil tentang agamanya sendiri. Bukannya aku menuding jari pada seseiapa tetapi bagi Negara yang mengakui Islam adalah agama rasmi, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.



Maksud sebenarnya istikharah. Istikharah menurut bahasa Arab, diambil daripada perkataan khayara, istakhara dan istikharah. Ia bermaksud agar dipilihkan kepadanya yang bersesuaian dengannya.

Solat istikharah bermakna, menunaikan solat dua rakaat sunat istikharah memohon dan menyerahkan sesuatu pilihan itu kepada Allah dengan serahan yang bulat kepada-Nya. Apa yang diberikan-Nya kepada kita, itulah yang kita terima.

Oleh itu untuk semua para pemuda dan pemudi serta golongan yang dah berumur juga, buatlah istikharah setiap kali kita berdepan dengan pilihan yang tidak pasti. Ini adalah kerana Allah lebih Mengetahui segalanya dari kita dan tidak perlu kita sombong dengan Allah sebab Dia adalah Pencipta kita.

Bagi yang hendak memilih jodoh, istikharah adalah amat penting supaya memastikan diri kita di ijab qabul dengan pasangan yang beriman dan baik akhlaknya serta berbudi pekerti. Barulah dapat mengurangkan peratus penceraian di Malaysia ini. Janganlah kita berkahwin atau memilih pasangan hidup menurut nafsu maka binasalah keluarga yang kita bina.

Ingat dan dengarlah nasihatku ini bahawa Islam telah memudahkan cara manusia untuk melayari bahtera di dunia ini melalui Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Janganlah di ikutkan sangat teori barat yang banyak memutar belitkan kehidupan manusia. Anda percaya serta yakin dengan Islam sepenuh hati maka anda akan selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Merancang untuk mati....

Salam Perjuangan,

Kebanyakan orang yang aku jumpa semuanya mempunyai angan-angan tersendiri dan impian yang belum di capai lagi dalam hidup. Mereka memasang impian yang berbeza mengikut minat dan kelebihan masing-masing yang telah dikurniakan Allah s.w.t.

Semua orang bertungkus lumus untuk menjayakan impian dan angan-angan mereka sampai lupa asal-usul diri dan untuk apa mnereka hidup di dunia ini. Pernah tak kita terfikir bahawa merancang untuk mati lebih utama dari merancang untuk hidup?????

Jawapannya mesti tak pernah kan dan aku pasti yang merancang untuk mati pada zaman cyber ini tidak sampai 20% pun. Sebenarnya yang pertama sekali kita mesti tahu apakah tujuan kita dihidupkan di muka bumi Allah ini dan yang kedua kita hendaklah merancang hidup untuk mati dan hidup kembali di alam yang "kebal".

Manusia yang bijak adalah manusia yang merancang dan membuat persediaan untuk menuggu dijempu oleh ajal tetapi manusia yang jahil dia telah mati sebelum kematian yang sebenar menjelma.

Bagaimana hendak merancang kematian????

1. Pastikan kita tahu apa tujuan kita hidup di dunia dan mengapa aku menjadi seorang Muslim???
2. Menambah amal dan taqwa dari masa ke semasa dan elak terjebak dengan manusia yang jahil dan sesat.
3. Perbanyakkan menuntut ilmu semoga ia jadi bekal untuk kita berbakti dan mengajak manusia sama meningati mati.

Aku rasa cukup setakat tiga asas perancangan dulu kerana untuk berubah memerlukan istiqamah dan ikhlas dari hati. Manusi tidak dilahirkan bodoh ke dunia kerana semuanya dilahirkan bijak dan pandai cuma yang membezakan mereka adalah kelebihan masing-masing. Semoga kita sama-sama beramal dan dapat menghadapi kematian dengan tenang serta diredhai Allah s.w.t.

" Manusia yang bijaksan menulis tentang ilmu, manusia yang cerdik menulis tentang peristiwa, tetapi manusia yang bodoh menulis tentang diri sendiri"

Friday, October 1, 2010

Hidup Dalam Kegelapan.....

Salam Perjuangan,

Gelap tidak semestinya kita tidak nampak cahaya..terang tidak semesti tidak nampak kegelapan...begitulah hidup kita sehari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan dari Allah swt.

Zaman cyber dan teknologi canggih sekarang banyak menggelapkan para pemuda-pemudi di alam kesesatan dan terperangkap di alam dunia yang penuh dengan penipuan. Apakah mereka tidak sedar akan salahnya jalan yang mereka pilih??? atau mereka sudah sedar tetapi tidak mahu mengambil tahu dan berubah???...Itu semua hanya Allah yang mengetahui hati mereka.

Bagi pendakwah muda di luar sana, berdakwah jangalah memilih bulu, menyebar ilmu janganlah hanya pada yang berminat. Adil lah sesama manusia dan bantulah mereka yang dalam kegelapan dunia. Jangan melihat mereka dari pemakaian dan tingkah laku tetapi lihat mereka dari hati dan nurani.

Tapi sayang pendakwah muda zaman ini banyak memilih jalan senang untuk berdakwah, meminggirkan kelompok yang memerlukan cahaya, meninggalkan mereka yang perlukan tongkat untuk berjalan di dunia ini. Jikalau begitu layakkah anda digelar pendakwah @ murrabi???? Anda mengaku mempuyai ilmu yang tinggi tetapi memilih kasih, tidak malukah anda???...saya tidak menuding jari pada sesiapa tetapi kalau benar kita ingin mengikut slogan membangun bersama Islam...bergeraklah wahai pemuda ke seluruh pelusuk dan ceruk dalam dunia ini untuk menyebarkan dakwah. Jangan bina jurang antara kita dan mereka..moga-moga hasrat Islam untuk kembali gemilang jadi impian.

Wassalam....***Inilah adalah pandangan peribadi penulis tidak ada kaitan dengan sesiapa****

Friday, September 17, 2010

Mood anda sukar di baca lah!!!

Salam Eidulfitri dan Salam Perjuangan,

Baru-baru ni ada seorang kawan aku tegur aku dengan mengatakan mood aku susah nak di baca dan nak di faham. Aku berfikir sejenak betul ke ape yg kawan aku cakap kan tu???...Jikalau betul lah mood aku susah orang nak faham maka aku akan kehilangan begitu ramai kawan. Mood yang sukar di baca adalah kerana seseorang itu runsingkan sesuatu atau dia sedang mengalami masalah jiwa. Itulah adalah faktor-faktor yang atau punca kepada kemurungan seseorang.

Memang aku sedang runsing tentang sesuatu perkara tetapi itu adalah peribadi yang tidak boleh dinyatakan disini. Konflik diri yang melanda aku cuba sedaya upaya serta dengan izin Allah untuk meredakannya. Bagi yang mereka senasib dengan aku, jangan mudah berputus asa untuk menyelesaikan masalah anda. Bagi lelaki anda ada 9 akal maka jangan lah anda tewas dengan satu masalah, malu la bro!!! hilang kemachoan dan hilang kegagahan seorang lelaki jika anda tewas.

Berfikirlah secara matang dan mohonlah bantuan dari tuhan yang empunya dunia agar kita tenang dalam menghadapi masalah dunia. Orang yang beriman mereka juga menghadapi susah tetapi tidak menderita walhal orang yang tidak beriman mereka juga susah tetapi menderita.

FIKIR-FIKIRKANLAH....PESANAN INI UNTUK DIRI PENULIS DAN PEMBACA BLOG INI

Tuesday, September 14, 2010

Petua Mencuci Hati

Salam Eidulfitri dan Salam Perjuangan,

Berikut adalah beberapa petua untuk kita membersihkan hati kita yang dihinggapi beberapa penyakit negatif. Petua ini di ulas dan dikeluarkan oleh Dato' Dr. Hj Fadzilah Kamsah. Sama-sama kita renung dan amalkan.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat Taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Surah Al-Ikhlas" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!).

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).

10. Kekalkan Wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang syubhat.

14. Berkawan dengan Ulama.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dsb), jangan dengar orang mengumpat.

Semoga para pembaca dapat mengamalkan dan tenang dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Wassalam.

Monday, September 13, 2010

Dunia Akhir Zaman..Masya Allah!!!

Salam Eidulfitri dan Salam Perjuangan,

Aku sangat-sangat terkejut dengan perkembangan remaja masa kini yang semakin hancur akhlak dan budi bahasa. Berbagai kisah dah aku dengar dan berbagai kejadian yang telah berlaku dengan kejam tanpa perikemanusiaan seperti pembuangan bayi. Berikut ada sebuah kisah contoh untuk para remaja menginsafi dan berfikir sejenak tentang haramnya zina.

Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah:

Dr. Danial yang dihormati.

Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

Jawapan Dr. Danial Zainal Abidin:

Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas.....Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud:

Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.

Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia.

Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia - Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia - Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserangi masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)

Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Kaum Lut hancur kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga hancur keranannya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
Doktor Perubatan,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy

Falsafah Eidul Fitri

Salam Eidulfitri dan Salam Perjuangan,

1. Kalau Ramadhan membawa makna panas yang membakar. Ia dapat diartikan bulan Ramadhan sebagai bulan pembakaran dosa. Sungguh banyak hadis Nabi SAW yang menyebut tentang fadhilat atau kelebihan puasa dan qiyam Ramadhan sebagai penghapus dosa. Malahan terdapat hadis yang menyebut begitu berakhir Ramadhan maka kita bagaikan bayi yang baru dilahirkan ibu yakni suci dari dosa. Tentu saja ini hanya untuk mereka yang melakukan puasa dan qiyam atas dorongan IMANAN (imannya kepada Allah) dan IHTISABAN ( semata-mata mengharap ganjaran pahala dari Allah).



2. Eid Al-Fitry terdiri dari dua perkataan. Eid maknanya kembali sedangkan Al-Fitry pula membawa makna fitrah atau suci. Jadi ungkapan Eid Al-Fitry membawa makna Kembali Kepada Kesucian. Atas sebab itulah kita selalu mendengan ucapan : Minal 'Aaidin Wal Faaizin ( semoga kita termasuk ke dalam golongan yang kembali dan semoga kita termasuk ke dalam golongan yang berjaya ). Jadi siapa yang kembali kepada fitrah semula jadi maka dia layak mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

3. Makna kembali kepada Fitrah yang paling utama adalah kembali kepada fitrah agama. Fitrah Agama pula ialah segala yang datan daripada Allah dan Rasul-Nya. Dengan kata lain asal usul agama Islam ialah segala yang datang dari Allah dan Rasul-Nya iaitu Al-Quran dan Al-Hadis. Sebagai contoh : Fitrah aqidah ialah Tauhid bukan syirik ; Fitrah dalam ibadat ialah ikut Sunnah Rasulullah bukan bid'ah ; Fitrah dalam akhlak adalah adil bukan zalim, amanah bukan khianat, berkata benar bukan dusta dan lain-lain. Oleh itu, bereidulfitry dalam kontek AGAMA mestilah kembalikan ajaran agama Islam yang kita anuti kepada sumbernya yang asal iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. bukan hanya ikut-ikutan atau bertaklid secara membuta tuli dengan adat istiadat atau tradisi nenek moyang.

4. Syawwal maknanya irtafa'a ( up grade ) atau peningkatan. Maksudnya : Setelah umat Islam melalui latihan demi latihan dalam Madrasah Ramadhaniah ( Sekolah Ramadhan ) selama satu bulan dengan penuh disiplin. Siangnya berpuasa dan malamnya qiyam. Segala anggota dapat dikawal daripada melakukan maksiat maka sangatlah memungkinkan jika diri seseorang menjadi lebih baik dan akan meningkatlah syakhsiah (jadi dirinya) dalam bulan Syawwal. Itulah sebabnya setelah Ramadhan lalu disambut dengan Syawwal. Oleh itu, adalah sangat bercanggah jika jutsru memasuki Syawwal langsung merudum atau merosot agamanya.

5. Pengingkatan yang dimaksudkan dari perkataan Syawwal bukanlah terbatas kepada kwantiti amalan tetapi lebih kepada kontinyuiti atau kesinambungan amalan. Peningkatan dalam ibadat puasa maksudnya kita perlu meneruskan budaya itu pada bulan Syawwal walaupun hanya enam hari, bukanlah mesti lebih daripada 30 hari. Tahajuud tidak semestinya lebih daripada 23 rakaat atau 11 rakaat ; membaca Al-Quran tidak semestinya melebihi 30 juz setiap bulan. Maksudnya : Amalan yang baik yang kita biasakan dalam Ramadhan perlu diteruskan walaupun dalam jumlah yang sedikit. Rasul SAW bersabda : Sesungguhnya Allah sangat menyukai amalan yang berkekalan walaupun ia dilakukan sedikit sedikit.

Cukuplah setakat ini dulu Tazkirah singkat untuk dijadikan sebagai bahan renungan dalam bulan Syawwal. Semoga berguna untuk kita semua. Mohon maaf jika ada kekurangan dan kesilapan.

Ustaz Dr. Abdullah Yasin,

No 62 Jalan Pauh Kijang ,
Kg. Malaysia Raya - Sg. Besi - KL
+6012 205 6040