"Hidup ini tumpang menumpang..di situlah lahirnya syukur kepada ALLAH. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situ ada nasi yang di usahakan petani, ada ikan yang di cari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberi sepinggan nasi kepada kita...alangkah kerdilnya kita di bumi ALLAH SWT...maka siapakah kita untuk menolak agama ALLAH?" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Wednesday, April 25, 2012

Bersih 3.0..Jom Anak Muda!!!!

Salam Perjuangan,

Sudah diketahui umum bahawa Perhimpunan Bersih 3.0 akan di adakan pada 28 April 2012 yang mana tujuan perhimpuanan adalah untuk menuntut kerajaan melunaskan 8 lagi tuntutan yang di buat ketika perhimpunan Bersih 2.0. Ini adalah juga untuk menuntut pihak pemerintah semasa mejalankan pentadbiran dan Pilihanraya yang bersih.


Aku menyeru kepada semua rakyat Malaysia serta anak muda yang sihat mental dan fizikal untuk turun beramai-ramai ke Perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka. Usah gentar dengan  ugutan kerajaan...usah di hirau kutukan dari puak yang tidak memahami perjuangan..usah di peduli apa yang akan terjadi kerana Allah akan bersama kita orang-orang yang akan menEgakkan keadilan mencantas kezaliman.

Akta Undang-undang Demontrasi Aman telah di luluskan dan sepatutnmya pihak kerajaan membenarkan Bersih 3.0 di jalankan. Tapi kita lihat kerajaan sekali lagi mungkir dan melanggar sendiri undang-undang ciptaan mereka. Oleh itu pemerintah sebegini tidak akan lagi membela rakyat malah membaham rakyatnya sendiri sehabis mungkin sehingga negara akhirnya akan menjadi seperti pemerintahan komunis atau berdinasti.


Tumbangkan BN di PRU 13..Selamatkan Malaysia dari penindasan dan kezaliman..demi masa generasi akan datang

AYUH PEMUDA!!!! AYUH RAKYAT MALAYSIA!!! KITA GEMPUR!!!

Sunday, April 22, 2012

Kisah Percintaan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah..


Salam Perjuangan,

Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah S.A.W. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.

Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.

”Allah mengujiku rupanya”, begitu batin ’Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti ’Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara ’Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya.Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berda’wah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam karena sentuhan Abu Bakar; ’Utsman, ’Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti ’Ali. Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, ’Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan ’Ali?Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaallah lebih bisa membahagiakan Fatimah.’Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin.

”Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam ’Ali. ”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat disitu, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.

Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ’Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a. Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasul Allah s.a.w. duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?”

Setelah duduk beristirahat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya: “Hai Ali engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk mempersunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Imam Ali r.a. Abu Bakar r.a. berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”

Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Imam Ali r.a. untuk melamar puteri Rasul Allah s.a.w.
Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasul Allah s.a.w. yg ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasul Allah s.a.w. menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”

Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w.

Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a. kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasul Allah s.a.w. Ia dipersilakan duduk di depan beliau. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasul Allah mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!” Mendengar kata-kata Rasul Allah s.a.w. yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasul Allah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.

Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adl tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”
Ummu Salmah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasul Allah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah” jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang “Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yg tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.” “Tentang pedangmu itu” kata Rasul Allah s.a.w. menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja.
Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wa­jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah r.a. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dgn disaksikan oleh para sahabat Rasul Allah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya Rasul Allah, itu kuterima dgn baik” jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu. Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Seperti ’Ali. Ia mempersilakan.
Atau mengambil kesempatan. Yang pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian. Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahwa suatu hari, Fatimah berkata kepada ‘Ali: “Maafkan aku, karena sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” ‘Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan Siapakah pemuda itu” Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah Dirimu”

Wednesday, April 11, 2012

Sunnah dan Adab Rasulullah

Salam Perjuangan,

Apabila diselingkap sirah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, maka kita mendapati ia jauh berbeza dengan agama lain. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam direkodkan sejarawan Islam dalam bentuk menceritakan nilai kemanusiaan.

Ia tidak digambarkan bersifat ketuhanan seperti penganut agama lain yang terkadang mengaitkan tokoh agama mereka dengan sifat ketuhanan. Islam tidak mengakui Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai anak tuhan.

Tetapi gambaran yang diberikan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersifat secocok dengan manusia lain. Baginda juga tidur, makan, dan berkahwin. Ini semua tidak lain dan tidak bukan agar tiada alasan bagi umatnya untuk menyatakan sunnah Nabi itu sesuatu yang sukar dilakukan oleh manusia.

Ini termasuk sunnah yang tidak pernah dilupakan iaitu sunnah Nabi serta adabnya yang boleh ditiru iaitu ketika berada di dalam tandas. Ulama mengumpulkan tatacara serta adab yang boleh dikongsi oleh semua umat.

Antara adab Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam ketika masuk ke dalam tandas ialah dengan menanggalkan segala sesuatu yang bertuliskan nama Allah subhanahu wa Ta’ala, juga nama mulia seperti malaikat, al-Aziz, al-Karim, Muhammad, dan sebagainya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Nasaie dan Tirmizi daripada Anas radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam apabila memasuki kamar mandi, baginda menanggalkan cincinnya yang tertera tulisan Muhammad Rasulullah. Namun jika terpaksa membawa masuk juga atas alasan untuk memelihara ataupun darurat maka diizinkan.

Begitu juga sekiranya timbul persoalan kemudahan kontemporari terkini yang mana ramai yang bertanya mengenai status gajet atau telefon bimbit yang disimpan di dalamnya al-Quran digital.

Adakah juga diharamkan untuk dibawa masuk ke dalam tandas?

Sudah semestinya boleh dan dibenarkan. Ini kerana gajet terbabit bukan sifat asli ayat al-Quran itu sendiri. Asalkan kita tidak membukanya seiring perbuatan kita menggunakan tandas terbabit.

Seterusnya, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam juga memulakan langkah ke dalam tandas dengan kaki kiri terlebih dahulu. Apabila keluar pula didahului dengan kaki kanan. Ia juga diiringi dengan bacaan doa yang ma’thur daripada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan dalam bab as-Sunnah mengatakan,

“Untuk melindungi aurat manusia dariapda mata-mata jin adalah apabila salah seorang di antara kamu memasuki bilik mandi, maka hendaklah membaca ‘Bismillah’ kerana di dalam bilik mandi itu mengundang seseorang dengan penyakit.”

Mengikut sunnah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, apabila seseorang ingin membuang hajat ia perlu duduk terlebih dahulu. Ini kerana supaya air kencing itu tidak memercik ke arahnya.

Ibn Mas’ud berkata, “Seseorang yang kencing berdiri dianggap sebagai orang tidak sopan. Oleh sebab itu, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah memberitahu,

“Sesiapa yang menceritakan kepadamu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kencing sambil berdiri, maka janganlah kamu mempercayaingya. Sebenarnya baginda tidak pernah kencing kecuali sambil duduk.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Terdapat juga dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan cara duduk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika membuang air kecil yang diperincikan oleh sahabat. Ini dapat dilihat pada hadis Suraqah bin Malik yang menyebutkan bahawa,

“Kami disuruh oleh rasulullah bertumpu di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Begitu juga Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam melarang kencing secara melawan arah angin, serta kencing dalam tempat kawasan air yang bertakung. Termasuk juga kencing itu perlulah diperhatikan sama ada tempat itu satu yang dimuliakan atau tidak.

Jika ia tempat yang mulia seperti kubur, laluan jalan, bawah pohon untuk berteduh atau bawah pokok yang berbuah. Ataupun pada zaman moden kini kita katakan sebagai tempat laluan dan berkumpulnya orang ramai.

Seperti hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud,

“Takutilah tiga (3) tempat yang dikutuk untuk membuang air besar. Di tempat laluan air, di tengah jalan raya dan di bawah bayang-bayang atau tempat orang berteduh.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagi memelihara was-was, makruh sekiranya kita menunaikan hajat di tempat yang sama untuk kita mandi dan mengambil wuduk. Jelas daripada hadis Abdullah bin Mughaffal menyatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Janganlah kamu kencing di tempat mandi kemudian mengambil wuduk di dalamnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, berlaku khilaf ulama terhadap perbahasan kencing mengadap kiblat apabila berada di kawasan khusus untuk kencing seperti tandas dan sebagainya.

Menurut mazhab Hanafi, perbuatan itu tetap makruh menurut hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud,

“Apabila kamu memasuki kamar mandi janganlah kamu mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya ketika membuang air kecil atau besar. Tetapi hendaklah kamu menghadap ke arah timur ataupun barat. (Hadis Riwayat Ahmad)

Isu berikutnya pula berkenaan mandi secara bertelanjang. Ulama menetapkan tidak boleh mandi secara bertelanjang di kawasan mandi umum. Ini berdasarkan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud,

“Allah subhanahu wata’ala amat pemalu dan amat menutupi. Dia suka kepada sifat malu dan tertutup. Oleh sebab itu, apabila kamu mandi hendaklah tertutup.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Namun sekiranya mandi berseorangan (di tempat yang tertutup) maka dia boleh mandi dalam keadaan bertelanjang kerana Nabi Musa ‘alaihissalam turut mandi dalam keadaan demikian. Begitu juga Nabi Ayub ‘alaihissalam. Wallahua’lam.

Monday, April 9, 2012

Persoalan Politik Islam??

Salam Perjuangan,

Oleh Ustaz Nik Abduh

Renungan buat mereka yang berkata, "Saya benci politik. Politik kotor, memecah belahkan, saling memfitnah dan terlalu sukar dipercayai janji orang-orang politik. Saya mahu menjaga ugama saya," mari berfikir sejenak;

1) Adakah dengan menjauhi politik, anda terjamin jadi bersih? Tidakkah dunia ini seluruh penjurunya bercampur baur antara baik dan buruk dan kita sendirilah yang menentukan untuk kita?

2) Adakah orang-orang mulia seperti para ulama dan mujahidin sepanjang zaman yang terlibat dalam politik peringkat tertinggi telah menjadi kotor kerananya?

3) Bagaimana anda menakrifkan politik baginda al Rasul صلى الله عليه وسلم yang memuncak sehingga terpaksa berperang dengan senjata?

4) Jika orang yang 'bersih' seperti anda menjauhi politik, apa hukum membiarkan dunia politik untuk dikuasai orang-orang yang kotor?

5) Jika hak anda dicabuli oleh orang politik, seperti dibekukan kenaikan pangkat semata-mata kerana enggan menyokong orang politik, adakah satu kemuliaan dan 'kebersihan' jika anda hanya diam membisu atau menolak orang yang datang membantu mempertahankan hak anda itu?

6) Adakah untuk anda mencampuri politik, ia memerlukan sehingga tubuh anda dan keluarga sendiri dianiayai dulu oleh orang politik, atau cukup dengan melihat saudara seagama yang lain dianiaya. Adakah anda mahu terhantuk dulu baru tengadah?

7) Adakah anda melihat agama Islam mengajar agar dijauhi politik dan orang politik?

8) Adakah anda melihat seorang nabi bukan ahli politik? Dengan maksud, nabi diutuskan untuk menjauhkan umat daripada politik?

9) Apakah pendapat anda untuk menjatuhkan ahli politik yang jahat tanpa menyentuh politik?

10) Adakah anda menemui dalil atau nas yang membenarkan anda lari dari tanggung jawab menentang kemungkaran politik?

Hukum Meniup Lilin pada Hari Lahir.....

Salam Perjuangan,

Soalan:

Bolehkah menyambut hari jadi dengan meniup lilin dan bernyanyi….setengah orang cakap tak boleh…kalau tak, boleh ke kita tukarkan lagu “Allah selamatkan kamu”?

Jawapannya:

Sebenarnya menyambut hari lahir ini tak salah, sebab Rasulullah setiap hari Isnin dia berpuasa untuk memperingati hari kelahirannya. Kemudian setiap tahun 12 Rabiulawal semua umat Islam menyambut hari kelahiran dan perjuangan Rasulullah untuk memartabatkan agama Islam.

Majlis menyambut hari kelahiran adalah baik kerana itu adalah caranya kita menginggati segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dan ia merupakan salah satu cara kita bersyukur kerana Allah melahirkan kita di dunia ini dengan keadaan baik dan sihat.

Tapi kita kena ingat kalau majlis ini salah pengisiannya atau salah meraikannya dengan cara tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak seperti adanya tarian, menari, konsert, bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya. Meninggalkan solat dan sebagainya. Maka ini jelas menjadi haram. Menjadi persoalan ramai umat Islam diluar sana bolehkah meraikan hari kelahiran dengan memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu “selamat hari jadi”?

Jawapannya, perkara ini datang bukan dari budaya Islam dan ia datang daripada budaya barat. Hadis Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud :

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku.”

Jelas di sini bahawa merayakan hari kelahiran dengan meniupkan lilin itu bukan dari Agama Islam, malah ia dipraktikkan oleh masyarakat Kristian setiap kali mereka menyambut hari kelahiran mereka. Barang siapa yang menyambutnya dengan cara memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu hari lahir adalah haram sebab dia bukan dari budaya Islam. Cara Islam menyambut hari kelahiran adalah dengan melaksanakan kenduri kesyukuran, membaca doa dan menjemput semua kaum kerabat dan sahabat-sahabat yang berdekatan dengan tujuan untuk bersilaturahim antara satu sama lain.

Akhir kalam, masuklah kedalam Agama Islam dengan cara keseluruhannya bukan masuk yang mana sesuai kita ambil dan yang tidak sesuai dengan nafsu kita tinggalkan. Jadilah umat Islam yang taat kepada perintah Allah dan meninggalkan perkara yang mungkar dan syubhah, kerana ini lebih menjaminkan keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Rayakanlah hari kelahiran sepertimana yang ditetapkan oleh syarak Islam, mudah-mudahan majlis yang dijalankan itu diberkati dan dirahmati oleh Allah.

Friday, April 6, 2012

Kezuhudan Seorang Gabenor

Salam Perjuangan,

Said bin Amir al Jumahi, termasuk seorang pemuda di antara ribuan orang yang pergi ke Tan’im, di luar kota Makkah. Mereka berduyun-duyun ke sana, dikerahkan oleh para pemimpin Quraisy untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Khubaib bin Adi, iaitu seorang sahabat Nabi yang mereka hukum tanpa sebab.

Dengan semangat muda yang menyala-nyala, Said maju menembusi orang ramai yang berpusu-pusu. Akhirnya dia sampai ke depan, sejajar dengan tempat duduk orang-orang penting, seperti Abu Sufyan bin Harb, Shafwan bin Umayyah dan lain-lain.

Kaum kafir Quraisy sengaja mempertontonkan tawanan mereka dibelenggu. Sementara para wanita, kanak-kanak dan pemuda, mengiring Khubaib ke lapangan maut. Mereka ingin membalas dendam terhadap Nabi Muhammad s.a.w, serta melampiaskan sakit hati di atas kekalahan mereka dalam perang Badar.

Ketika tawanan yang mereka iringi sampai ke tiang salib yang telah disediakan, Said mendongakkan kepala melihat kepada Khubaib bin Adi. Said mendengar suara Khubaib berkata dengan mantap, “Jika kamu bolehkan, saya ingin solat dua rakaat sebelum kamu bunuh saya …”

Kemudian Said melihat Khubaib menghadap ke kiblat (Kaabah). Dia solat dua rakaat. Alangkah bagus dan sempurnanya solatnya itu. Sesudah solat, Khubaib menghadap kepada para pemimpin Quraisy seraya berkata, “Demi Allah! Seandainya kamu tidak akan menuduhku melama-lamakan solat untuk melengahkan waktu kerana takut mati, nescaya saya akan solat lagi.” Mendengar ucapan Khubaib tersebut, Said melihat para pemimpin Quraisy naik darah, bagaikan hendak mencincang-cincang tubuh Khubaib hidup-hidup.

Kata mereka, “Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?”

“Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Muhammad tertusuk duri,” jawab Khubaib mantap.

“Bunuh dia! Bunuh dia!” Teriak orang ramai. Said melihat Khubaib telah dipakukan ke tiang salib. Dia mengarahkan pandangannya ke langit sambil berdoa, “Ya Allah! Hitunglah jumlah mereka! Hancurkan mereka semua. Jangan disisakan seorang jua pun! “

Tidak lama kemudian Khubaib menghembuskan nafasnya yang terakhir di tiang salib. Sekujur tubuhnya penuh dengan luka-luka kerana tebasan pedang dan tikaman tombak yang tak terbilang jumlahnya.

Kaum Kafir Quraisy kembali ke Makkah biasa-biasa saja. Seolah-olah mereka telah melupakan peristiwa maut yang meragut nyawa Khubaib dengan sadis. Tetapi Said bin Amir al Jumahi yang baru meningkat remaja tidak dapat melupakan Khubaib walau ‘sedetik pun’. Sehingga dia bermimpi melihat Khubaib menjelma di hadapannya. Dia seakan-akan melihat Khubaib menjelma di hadapannya. Dia seakan-akan melihat Khubaib solat dua rakaat dengan khusyu ‘dan tenang di bawah tiang salib. Seperti terdengar olehnya rintihan suara Khubaib mendoakan kaum kafir Quraisy. Kerana itu Said ketakutan kalau-kalau Allah S.W.T akan mengabulkan doa Khubaib, sehingga petir dan halilintar menyambar kaum Quraisy.

Keberanian dan ketabahan Khubaib menghadapi maut mengajarkan Said beberapa perkara yang belum pernah diketahuinya selama ini.

Pertama, hidup yang sesungguhnya adalah hidup beraqidah, beriman, kemudian berjuang mempertahankan aqidah itu sampai mati.

Kedua, iman yang telah tertancap di dalam hati seseorang dapat menimbulkan hal-hal yang ajaib dan luar biasa.

Ketiga, orang yang paling dicintai Khubaib ialah sahabatnya, iaitu seorang Nabi yang dikukuhkan dari langit.

Sejak itu Allah S.W.T membuka hati Said bin Amir untuk menganut agama Islam. Kemudian dia berpidato di hadapan khalayak ramai, menyatakan: “alangkah bodohnya orang Quraisy menyembah berhala”. Kerana itu dia tidak mahu terlibat dalam kebodohan itu. Lalu dibuangnya berhala-berhala yang dipujanya selama ini. Kemudian diumumkannya, mulai saat itu dia masuk Islam.

Tidak lama sesudah itu, Said menyusul kaum Muslimin hijrah ke Madinah. Di sana dia sentiasa mendampingi Nabi s.a.w. Dia ikut berperang bersama baginda, mula-mula dalam peperangan Khaibar. Kemudian dia selalu turut berperang dalam setiap peperangan berikutnya.

Setelah Nabi s.a.w kembali ke rahmatullah, Said tetap menjadi pembela setia Khalifah Abu Bakar dan Umar r.a. Dia menjadi teladan satu-satunya bagi orang-orang yang beriman yang membeli kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Dia lebih mengutamakan keredhaan Allah dan pahala daripada-Nya di atas segala keinginan hawa nafsu dan kehendak jasad.

Kedua-dua khalifah Rasulullah, Abu Bakar dan Umar bin Khattab, mengerti bahawa ucapan-ucapan Said sangat berkesan dan taqwanya sangat tinggi. Kerana itu keduanya tidak keberatan mendengar dan melaksanakan nasihat-nasihat Said.

Pada suatu hari di awal pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab, Said datang kepadanya memberi nasihat. Kata Said, “Ya Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia. Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah! Jangan berkata berbeza dengan perbuatan. Kerana sebaik-baik perkataan ialah yang dibuktikan dengan perbuatan. Hai Umar! Tujukanlah seluruh perhatian anda kepada urusan kaum Muslimin, baik yang jauh mahupun yang dekat. Berikan kepada mereka apa yang anda dan keluarga sukai. Jauhkan dari mereka apa-apa yang anda dan keluarga tidak sukai. Arahkan semua kurniaan Allah kepada yang baik. Jangan hiraukan cacian orang-orang yang suka mencaci. “

“Siapakah yang sanggup melaksanakan semua itu, hai Said?” Tanya Khalifah Umar. “Tentu orang seperti anda! Bukankah anda telah dipercayai Allah memerintah umat Muhammad ini? Bukankah antara anda dengan Allah tidak ada lagi suatu penghalang?” Jawab Said meyakinkan.

Pada suatu ketika Khalifah Umar r.a memanggil Said untuk diserahkan suatu jabatan dalam pemerintahan. “Hai Said! Engkau kami angkat menjadi Gabenor di Himsh!” Kata Khalifah Umar.

“Wahai Umar! Saya mohon kepada Allah semoga anda tidak mendorong saya condong kepada dunia,” kata Said.

“Celaka engkau!” Balas Umar marah. “Engkau pikulkan beban kerajaan ini di bahuku, tetapi kemudian engkau menghindar dan membiarkanku sibuk sendiri.”

“Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan anda,” jawab Said.

Kemudian Khalifah Umar melantik Said menjadi gabenor di Himsh. Sesudah pelantikan, Khalifah Umar bertanya kepada Said, “Berapa gaji yang Engkau inginkan?”

“Apa yang perlu saya lakukan dengan gaji itu, ya Amirul Mukminin?” Jawab Said bertanya.“Bukankah pendapatan saya dari Baitul Mal sudah cukup?”

Tidak berapa lama selepas Said memerintah di Himsh, sebuah delegasi datang menghadap Khalifah Umar di Madinah. Delegasi itu terdiri dari penduduk Himsh yang ditugasi Khalifah mengamat-amati jalannya pemerintahan di Himsh.

Dalam pertemuan dengan delegasi tersebut, Khalifah Umar meminta senarai fakir miskin Himsh untuk diberikan bantuan. Delegasi mengemukakan senarai yang diminta khalifah. Di dalam senarai tersebut terdapat nama-nama si fulan, dan nama Said bin Amir al Jumahi.

Ketika Khalifah meneliti senarai tersebut, beliau mencari nama Said bin Amir al Jumahi. Lalu beliau bertanya, “Siapa Said bin Amir yang kamu cantumkan ini?”

“Gabenor kami!” Jawab mereka. “Betulkah Gabenor kalian miskin?” Jawab Khalifah hairan.

“Sungguh, ya Amirul Mukminin! Demi Allah! Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak memasak),” jawab mereka meyakinkan.

Mendengar perkataan itu, Khalifah Umar menangis, sehingga air mata beliau meleleh membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil sebuah kantung berisi wang seribu dinar.

“Kembalilah kamu ke Himsh. Sampaikan salamku kepada Gabenor Said bin Amir, dan wang ini saya kirimkan untuk beliau, bagi meringankan kesulitan-kesulitan rumahtangganya,” kata Umar sedih.

Setibanya di Himsh, delegasi itu segera menghadap Gabenor Said, menyampaikan salam dan wang kiriman Khalifah untuk beliau. Setelah Gabenor Said melihat kantung berisi wang dinar, kantung itu dijauhkannya dari sisinya seraya berucap, “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” (kita milik Allah dan pasti kembali kepada Allah).

Mendengar ucapannya itu, seolah-olah suatu mara bahaya sedang menimpanya. Kerana itu isterinya segera menghampiri seraya bertanya, “Apa yang terjadi, hai Said? Meninggalkah Amirul Mukminin?”

“Bahkan lebih besar dari itu!” Jawab Said sedih. “Apakah tentera kaum Muslimin kalah berperang?” Tanya isterinya lagi. “Jauh lebih besar dari itu!” Jawab Said tetap sedih. “Apa pulalah gerangan yang lebih dari itu?” Tanya isterinya tak sabar. “Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita,” jawab Said mantap.

“Bebaskan dirimu daripadanya!” Kata isteri Said memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya kantung wang yang dihantar Khalifah Umar untuk peribadi suaminya.

“Mahukah engkau menolongku berbuat demikian?” Tanya Said.

“Tentu!” Jawab isterinya bersemangat. Maka Said memuatkan kantung wang itu, lalu disuruh isterinya membahagi-bahagikan kepada fakir miskin …

(Sumber: Kepahlawanan Dalam Generasi Sahabat Karangan DR. Abdurrahman Raf’at Basya / Nuim Hidayat)

Pemuda mesti ada 'UMPH'.....

Salam Perjuangan,

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DPPM

Published on 04 April 2012

Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph". Bertugas dan bekerja dengan hambar. Terkadang dihambat rasa letih dan bosan. Dahulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerak kerja amal jama'ie, amal fardhi dan amal ijtimaei. Saya masih ingat, selain usrah saban minggu, jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhayyam, namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis. Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari, bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi.

Ukhuwwah cukup erat dan intim. Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan, "Ana uhibbuka fillah yaa akhi..." sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi-pipi merah yang menahan getir perjuangan ini. Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah. Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah.

Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan. Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap. Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita. Manakan tidak. Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan, bersulam doa rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang.

Buku-buku haraki sentiasa di tangan, sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah. Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan-pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan.

Semangat jihad berkobar-kobar, merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala. Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya baharulah disudahi dengan perkembangan isu semasa. Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan.

Timbul masalah, segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing-masing menutup masalah dan aib saudara masing-masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar. Cepat melupakannya serta segera memaafkan. Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah Islamiyyah yang tebal segera merawatnya.

Mesyuarat dengan penuh mesra. Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza. Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata. Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri, tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri. Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti-nanti. Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan.

Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini. Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan. Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat. Namun, sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang. Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif. Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api. Nak bercakap rasa tak kena, tak bercakap rasa salah. Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala, kalau sempat pun sekadar bersalam tangan. Rasa sukar untuk mendekap pipi, sebab masing-masing sibuk memburu waktu entah nak ke mana. Kalau peluk semua ahli mesyuarat, terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan. Ada yang rasa janggal dan geli geleman.

Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan. Memandang sahabat seperti musuh. Ya, musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik. Menyertai PAS bukan lagi menyertai "Gerakan Islam" tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam.

Hadir mesyuarat seperti menghadiri parlimen untuk berdebat dengan musuh. Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti di parlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang. Tidak lagi bermula dengan al ma'thurat dan doa rabithah. Asma'ul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras. Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa.

Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini. Nak baca macam mana, usrah pun sudah 5 tahun tidak hadir. Terma-terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri, wehdatul amal dan sebagainya.

Mesyuarat sebelum mesyuarat, mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin. Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus. Sebab, sebelum masuk mesyuarat, perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komuniti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan. Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu, ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi.

Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini. Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga-mencurigai antara satu sama lain. Suasana sentiasa tegang dan panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan. Masing-masing menanti waktu turning point sebagai masa mahu bertindak. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat. Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra. Seperti merenung musuh, kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita. Ada sahaja yang tidak kena dan hati sentiasa tidak puas.

Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur. Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja. Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa, kalau pun masih terasa hanya sekadar manis-manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka.

Terma-terma asas perjuangan Islam seperti jihad, negara Islam, hudud, mukhayyam tarbawi, usrah, harakah Islamiyyah, naqib, ukhuwwah fiLlah dan lain-lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum. Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak, tidak kena timing, keterlaluan, non-Muslim tidak akan mengundi kita, kolot dan macam-macam lagi sms akan masuk menempelak. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi. Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah. Habis semangkuk, perut boleh kenyang tetapi "umph"nya tiada. Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula "umph" dalam perjuangan ini?

Harapan saya, agar pemuda dapat menikmati semula "umph" tersebut. Untuk itu, pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat (UMPH).

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia