"Hidup ini tumpang menumpang..di situlah lahirnya syukur kepada ALLAH. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situ ada nasi yang di usahakan petani, ada ikan yang di cari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberi sepinggan nasi kepada kita...alangkah kerdilnya kita di bumi ALLAH SWT...maka siapakah kita untuk menolak agama ALLAH?" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Thursday, November 24, 2011

Mampukah Aku Menghadapinya????

Salam Perjuangan,




Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah ini pasti tidak terlepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Kita pula bertanya kenapa Allah nak uji sedangkan Allah telah isytiharkan bahawa Dia Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani???...Sudah tentu inilah cara Allah mentarbiyah hamba-hambNya agar berdikari dan terus ikhlas berusaha untuk mengecapi nikmat dunia. Dia tidak akan memanjakan hamba-hambaNya kerana sifat memanjakan akan memusnahkan keikhlasan dalam hati.

Aku juga tidak terlepas dari fenomena ini. Hati bergelora dan sedih kerana belum lagi menjadi sebahagian dari jemaah Islam. Walaupun hati aku begitu bersemangat sehinggakan aku bertekad mencurahkan segala jiwa, harta dan ragaku tetapi Allah lebih mengetahui sama ada aku sudah bersedia atau tidak. Kita merancang tetapi perancangan Allah lebih hebat.

Mungkin Allah nak aku tanya betul-betul pada diri iaitu atas tujuan apa aku nak bersama Jemaah Islam? Betulkah kamu ikhlas nak berjuang bersama jemaah Islam?? Atau sekadar kamu nak bangga dengan kawan-kawan atau nak bangga dengan bakal zaujah pilihan nak menunjukkan kehebatan kita berjuang??...Itulah yang aku muhasabah kembali dalam diri ini supaya niat dan tujuan aku bersama Jemaah Islam adalah semata-mata kerana Allah.

Manusia tidak sempurna walaupun manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna. Kerana itulah manusia seringkali di sarankan supaya bermuhasabah dan rendah diri. Bantulah mereka yang memerlukan pertolongan terutamanya pada mereka yang telah sedar dari lamunan. Tarbiyah mereka dengan segera, jangan lah kita bertangguh. Yakinlah dengan Allah bahawa rahsia kita tidak akan terbongkar hanya kerana kita membantu insan lain menjadi pejuang seperti kita. Mereka itu berhak bersama kita memperjuangkan agama Allah. Janganlah kerana kita sudah 'terer' dalam berdakwah tetapi kita abaikan mereka-mereka yang baru sahaja di kurniakan cahaya kesedaran.

Aku tidak menuding jari kepada sesiapa tetapi setiap cara dan permasalahan ada jalan penyelesaian. Kita tidak boleh abaikan tugas hakiki sebagai pendakwah di dalam kita mengejar kuasa dan kemenangan. Aku berharap aku dapat bertahan lagi dalam keadaan iman yang kritikal. Semoga Allah memperjodohkan aku dengan mereka yang berjuang di jalan Allah, yang sedang terseksa memperjuangkan kebenaran, yang sedang bergelut dengan puak kuffar dan sekular. Aku rindu dengan pejuang-pejuang Allah, Aku rindu bersama mereka, Aku juga rindu bersusah senang bersama mereka. "Ya Allah aku yakin akan ketentuanMU, tabahkanlah hatiku dalam survival tarbiyah yang tidak menetu, tunjukkanlah aku jalan kebenaranMu agar aku dapat bersama dengan hamba-hamba yang Engkau kasihi"

No comments:

Post a Comment