Salam Perjuangan,
Petikan di ambil dari Facebook Ustaz Nasaruddin Tantawi
1. Fokus BERSIH samada edisi 1.0, 2.0 dan juga 3.0 adalah
menuntut keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengurusan dan
pengendalian pilihanraya negara kita, ekoran terlalu banyak kesangsian,
kekeliruan serta ruang yang terdedah kepada manipulasi dalam sistem peraturan,
pengurusan dan pengendaliannya.
2. Bertolak dari Daftar Pemilih yang tidak bersih malah
masih dikotori dan berlumut dengan senarai pengundi yang tidak layak mengundi
serta beberapa kekeliruan yang perlu kepada pemurnian awam oleh pihak SPR.
Pelbagai peraturan dan undang - undang pilihanraya yang tidak konsisten,
membuka peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi. Media yang tidak
seimbang dan berat sebelah, dilagang pula dengan pelbagai fitnah yang jijik dan
memualkan.
3. maka pihak BERSIH telah menganjurkan pelbagai aktiviti
seperti laporan ke SUHAKAM, laporan PDRM, Laporan SPRM, Memorundum kepada
Kebawah Duli Yang Di Pertuan Agung dan Himpunan Aman. Malangnya, sehingga kini
pihak kerajaan dan SPR masih tidak memenuhi tuntutan BERSIH tersebut.
4. Kerajaan UMNO dan BN sebaliknya mendakwa BERSIH
menganjurkan keganasan, rusuhan dan sebagainya. Lalu mereka menempelak usaha
suci BERSIH dengan pelbagai tindakan seperti menggunakan FRU untuk melepaskan
tear gas dan air kimia, PDRM untuk tangkap dan belasah, DBKL untuk menaksirkan
jumlah timbunan sampah, Majlis Fatwa bagi mengharamkan himpunan BERSIH, Media
arus perdana supaya memutar alam menjadi separa realiti.
5. Kini kedengaran pelbagai pihak bercakap mengenai edisi
berikut bagi kelangsungan tuntutan BERSIH supaya BERSIH 4.0 direalisasikan
sehingga kerajaan UMNO dan BN akur tuntutan rakyat. Kerana pilihanraya umum
tidak boleh diadakan atau disertai dalam keadaan ia tiada jaminan dapat
dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih dari sebarang penyelewengan.
6. Sementara hari ini dan saya percaya ianya akan terus
berlangsung ke hari pilihanraya, mereka memburukkan BERSIH 3.0 kononnya ganas
lalu membina persepsi buruk masyarakat terhadap BERSIH sedang pihak BERSIH
tidak diberi ruang serupa melalui televisyen dan media arus perdana yang lain
untuk menjawab dan memberi penjelasan.
7. Maka saya mencadangkan agar BERSIH 4.0 ini direalisasikan
melalui format baru pula iaitu Duduk dan Debat. Sekali lagi saya cadangkan
panelnya ialah terdiri dari Presiden PAS Yb. Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Awang dengan YAB Presiden UMNO Datuk Seri Hj Najib Tun Abdul Razak. Seluruh
rakyat dikerah hadir secara aman untuk berhimpun di Dataran Merdeka.
8. Saya menegaskan demikian melalui cadangan Duduk dan Debat
adalah sesuai dengan iklim politik baru yang hendak kita bawa iaitu berteraskan
kekuatan hujjah bukan hujjah kekuatan. Saya harap pihak kerajaan dapat menerima
cadangan ini dengan baik dan terbuka jika mereka juga benar mahukan keadilan,
ketelusan dan kesaksamaan pula aktiviti itu berlangsung dalam suasana aman.
9. Ia pastinya akan menjadi rekod sejarah. Masa depan negara
akan dibentuk dan dibina melalui kerajaan yang bakal dipilih oleh rakyat
melalui penerimaan terhadap hujjah yang dikemukakan, bukan sokongan yang
dipaksa dengan cota, tear gas dan air kimia.
10. Iklim politik baru mesti dibina segera oleh kedua - dua
parti kompenan besar negara iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Politik
berteraskan hujjah dan hikmah. Bukan politik tangkap dan belasah. Sebaliknya
jua ke arah politik rasional, lapang dada dan kasih sayang tanpa permusuhan dan
kebencian sesama agama dan bangsa yang ditanam melalui provokasi dan
doktrinisasi yang negatif.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment